Menghadiri temuduga kerja adalah perkara biasa bagi kalangan graduan lepasan ijazah, diploma, lepasan SPM, mahupun golongan yang sudah pun bekerja.
Jika diketepikan soal politik, kabel, dan talian hayat, apakah faktor utama kepada kejayaan sesebuah temuduga?
Kejayaan awal
Andaikan anda mendapat suatu panggilan temuduga bagi mengisi sesebuah jawatan kosong yang pernah anda pohon suatu ketika dahulu di sesebuah organisasi.
Apa yang harus anda lakukan? Setkan dalam minda bahawa anda telah pun berjaya dalam peringkat pertama mengejar karier. Jangan sesekali memandang rendah akan kuasa minda.
Minda yang dapat disetkan dengan baik mampu memberi kekuatan kepada keseluruhan perjalanan temuduga yang akan dilalui ini.
Setkan bahawa:
Tanpa kejayaan anda di peringkat pertama ini, tidak mungkin akan wujud peringkat kedua. Oleh itu, perjalanan mesti diteruskan.
Persiapan awal: Kajian
Sebaik mendapat surat temuduga, buat sedikit persiapan sebelum tiba tarikh temuduga.
Kaji latar belakang organisasi yang menawarkan temuduga jawatan kosong kepada anda. Apakah urusan utama organisasi tersebut, berapa lama ditubuhkan, saiz organisasi, kaitan organisasi dengan anda, dan sebagainya.
Buat kajian terperinci tentang jawatan yang ditawarkan. Kenapa jawatan itu diwujudkan, peranan utama jawatan, pengetahuan yang perlu ada untuk mengisi jawatan tersebut, dan mengapa anda rasa anda diperlukan untuk mengisi jawatan tersebut.
Kalau dapat, lihat berapa banyak kerusi yang ditawarkan untuk jawatan tersebut, serta berapa ramai calon yang dipanggil untuk temuduga jawatan tersebut.
Kaji juga sejauh mana anda sendiri memerlukan jawatan mahu pun organisasi tersebut. Sejauh mana ia bersesuaian dengan kelulusan anda, dan sejauh mana kelulusan anda bersesuaian dengan jawatan tersebut.
Sekiranya anda berasa selesa setelah menjalani kajian-kajian di atas, besarlah harapan anda untuk berjaya dalam temuduga itu nanti.
Sebaliknya jika anda rasa kurang selesa, cuba cari tawaran lain dan lupakan temuduga tersebut, melainkan anda memang terdesak untuk meneruskan kehidupan anda sehari hari.
Persiapan sebelum temuduga
Pada hari temuduga, bangun awal. Banyak perkara yang harus anda lakukan sebelum pergi ke tempat temuduga, dengan tenang dan tidak gopoh gapah.
Sebelum solat subuh, lakukan solat sunat hajat (lepas subuh tak boleh, masa tu tak boleh solat sunat dah). Minta supaya dipermudahkan urusan temuduga anda pada hari tersebut.
Tali leher bagi lelaki adalah wajib
Selepas mandi (jangan tak mandi pula), bagi lelaki, wajib memakai baju kemeja lengan panjang lengkap dengan tali leher, tidak kira bagi jawatan apa sekalipun. Bagi perempuan, kenakan pakaian yang sopan dan semestinya menutup aurat.
No perfume, please!
Elakkan memakai bau-bauan atau sebarang perkara yang bermaksud untuk berwangi-wangian. Selain berdosa (bagi perempuan), bau-bauan ini boleh mengakibatkan markah anda ditolak seandainya penemuduga terhidu perfume anda sewaktu proses temuduga dijalankan.
Dapatkan gambaran isu semasa
Para remaja biasanya kurang berminat untuk mengetahui isu semasa, terutama bab politik dan ekonomi. Kerana ianya membosankan dan tidak seseronok tabloid Metro Harian.
Namun, untuk hari temuduga, korbankan sedikit ketidakselesaan itu. Selepas bersarapan ala kadar, ambil masa baca suratkhabar atau dengar radio. Paling baik kalau dapat tonton dengan Buletin Pagi di TV3, sambil sarapan pun boleh dengar.
Kalau tak dapat tonton TV, baca suratkhabar utama seperti Berita Harian, Utusan, New Straits Times, The Star, dan sebagainya.
Baca topik-topik semasa, politik, ekonomi, dan isu-isu kerajaan serta berita yang mempunyai kaitan dengan jawatan anda jika ada.
Penemuduga biasanya berminat dengan calon yang mempunyai kepekaan dan keprihatinan terhadap persekitaran hidup masyarakat keseluruhan, terutama dari segi fizikal, sosial, ekonomi, pentadbiran serta politik.
Melangkah ke lokasi temuduga
Sebelum meninggalkan rumah, pastikan anda membawa bersama surat panggilan temuduga serta dokumen-dokumen yang diisyaratkan dalam surat panggilan temuduga.
Buatkan satu ‘check-list‘ ringkas supaya tiada yang tertinggal melainkan tapak kaki.
Pastikan anda tiba sebelum masa yang ditetapkan. Aspek masa amat dititikberatkan dalam sesebuah program temuduga.
Setibanya anda di lokasi, tenangkan diri dan banyakkan doa tawakkal. Letakkan harapan anda pada Yang Maha Esa.
Akhir kata, selamat menghadiri temuduga. Semoga berjaya!
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment